Monday, September 12, 2011

MALU BESAR MELAYU TAHUN 2011

Kenapa saya menulis dalam bahasa melayu kali ini?

Sebab saya malu hendak berkongsi kandungan artikel ini dengan sahabat-sahabat saya daripada kumpulan Pemerhati (Watchers Group) yang merupakan pembaca teramai melawati laman blog saya ini.

Kenapa pula saya malu? Ini alkisahnya..

Kelmarin ayah dan ibu saya datang ke rumah saya untuk melawat cucu-cucunya (bukan nak melawat saya dan isteri pun.. semenjak ada cucu ni maka anak dan menantu turun kasta). Jadi semasa berbual-bual semasa makan malam, ayah saya menceritakan diskusi yang berlaku antara dia dan Herman iaitu warga Indonesia yang digaji sebagai pemungut buah kelapa sawit di kebun 15 ekar ayah saya.

Sebelum itu perlu saya beritahu dahulu bahawa ramai warga Indonesia yang berkelulusan 'ada-ada' sanggup berhijrah ke Sabah untuk mencari kerja hatta sebagai penjaga kebun. Herman ini sudah lama kami ketahui merupakan siswazah daripada Universiti Negeri Makassar. Kami tidak pernah pula melihat sijilnya namun dia seringkali berkata bahawa dia dari Jurusan Sains Sosial. Yang pasti ialah dia memang petah bercakap dan kelihatan berpelajaran.

Kenapa dia sehingga merantau berkerja kebun? Katanya dia sedang menumpul modal untuk menebus kebun keluarganya di kampung. Ternyata gaji dan komisyen sebagai pengumbul buah kelapa sawit lebih lumayan daripada berkerja kantor di Indonesia.

Oleh kerana ayah saya tiada teman berbual mengenai politik (kerana saya tinggal dan berkerja di daerah lain) maka si Herman inilah yang selalu jadi temannya. Minggu lepas Herman telah bertanya kepada ayah saya mengenai isu Mat Sabu. Kira-kira beginilah bunyi pertanyaannya itu (mengikut kata ayah saya).


Herman "Melayu Malaysia ternyata aneh ya Pak. Masa melayu komunis bisa dianggkat sebagai pahlawan. Malahan yang mengangkat itu agamawan lagi katanya"

Ayah saya menjawab "Biasalah dalam politik. Namanya mahu menang pilihanraya maka semua pun dibohongi asalkan boleh menang undi Cina"

Herman "di Indonesia pun bangsanya lagi gemar berpolitik pak. Malahan di sana lagi besar demonya Pak dan lagi banyak orpol dan parpolnya Pak. Namun tidak pernah ada yang kekeliruan dalam membicarakan kebejatan komunis. Saya jamin kalau ada orang seperti agamawan Malaysia itu di Indonesia, pasti sudah dipenggal kepalanya oleh penduduk kampung".

Ayah saya: "Mungkin keadaan di Indonesia dan Malaysia berbeza".

Herman: "Ampun pak, harap jangan kecil hati ya. Tapi pandangan bapak itu salah. Bangsa Indoesia juga pernah ada Partai Komunis seperti Malaysia. Malahan lebih parah lagi. Semua bangsa Indonesia tahu apa itu Komunis dan apa maunya pak. Itu makanya bangsa Indonesia pengkhianat komunis tiada ampunnya lagi. Malahan Pak Sukarno yang agung menentang Belanda itu langsung saja tumbang kerana kebergantungannya pada Komunis. Jika di Malaysia ada Mat Indera yang picisan itu, di Indonesia kami ada Dipa Nusantara yang tinggi tingkatnya. Itupun langsung dibunuh saja. Tidak ada siapa di Indonesia bakal menyanjung Dipa sebagai perwira Indonesia".

Cerita ayah saya ini sebenarnya kebetulan sekali mengingatkan saya kepada email yang saya terima daripada seorang rakan warga Pakistan yang juga merupakan bekas ahli kumpulan "Pemerhati". Di dalam emailnya itu, beliau sebenarnya mengejek (walaupun secara gaya bahasa tidak langsung) kebodohan sekumpulan Melayu di negara ini yang melakukan sesuatu yang tidak pernah berlaku di mana-mana negara Islam lain di Dunia - iaitu mengiktiraf komunis sebagai pejuang negara.


Jika penyokong PAS/PKR membaca buku Sejarah, mereka patut boleh melihat persamaan pergerakan Komunis di Malaysia dan Indonesia. Contohnya, Partai Komunis Indonesia ("PKI") dan Parti Komunis Malaya ("PKM") ditubuhkan atas arahan Communist International atau Comintern yang dipengaruhi oleh Rusia. Keduanya menggunakan alasan yang sama sebagai alasan penubuhan iaitu perjuangan menentang Penjajah. Malahan jika benarlah komunis melayu itu patut disanjung, maka Melayu Indonesia berhak melakukannya terlebih dahulu kerana berbeza dengan Malaysia, PKI di Indonesia adalah didominasi oleh orang melayu islam malahan Ketua Umum Pertama PKI juga adalah seorang melayu iaitu Semaun Prawiroatmodjo. Lebih hebat lagi, Semaun ini merupakan ahli kumpulan Sarekat Islam.

Anda tentu tidak percaya jika diberitahu bahawa PKI Indonesia merupakan serpihan daripada Sarekat Islam, bukan? Tapi itulah hakikat lucunya. Parti yang akhirnya banyak merusak keamanaan bangsa Indoesia itu adalah berasal dari Sarekat Islam.

Jadi PKI itu adalah pergerakan orang melayu indonesia.. beragama Islam lagi. Jadi kenapa Komunis Indonesia yang majoriti anggotanya melayu islam itu (berbeza dengan PKM yang didominasi cina) akhirnya dibenci bangsa Indonesia?


Jawapannya mudah. Kerana jalan komunis yang dilaksanakan PKI itu keterlaluan jahat. Dalam siri pembunuhan yang dilakukan oleh PKI sekitar tahun 1948, PKI yang dipimpin melayu Indonesia bernama Muso Manowar melaksanakan Modus operandi mendatangi rumah-rumah penduduk dan memaksa setiap laki-laki dan perempuan yang berusia 15 tahun ke atas menjadi anggota PKI dengan yuran Rp 0,10. Sesiapa yang menolak maka kelak dibunuh. Sudah tentu yang paling menolak itu adalah para kiai dan murid-murid sekolah agama. Akibatnya mereka juga dibunuh. Malahan sungai-sungai di Madiun menjadi merah oleh karena darah para kiai dan santri yang dibunuh itu. Peristiwa pembunuhan tokoh ugama ini diingat oleh bangsa Indonesia sebagai Peristiwa Madium.

Aksi berikutnya pada tanggal 13 Januari 1965 sekitar pukul 04.30 subuh, lebih kurang 3,000 anggota PKI yang dipimpin Ketua pengurus cabang Pemuda Rakyat (PR) Daerah Kediri, Soerjadi, mengadakan teror dengan melakukan penyerbuan di desa Kanigoro, Kediri, Jawa Timur. Pada ketika itu ada sekitar 100 orang PII (Pelajar Islam Indonesia) dari seluruh daerah di Jawa Timur yang sedang mengikuti rapat bersama di Masjid At Taqwa selesai salat subuh. Tiba-tiba datang segerombolan orang berpakaian hitam-hitam menyerang mereka. Mereka melakukan pemukulan dan penganiayaan terhadap para kiai dan imam masjid sehingga korba jatuh serta merusak rumah ibadah, bahkan menginjak-injak Kitab Suci Al Quran.

Mereka berteriak “Ganyang santri!”, “Ganyang Masjumi!”, “Ganyang Sorban!”, “Ganyang kapitalis!”, “Ganyang Kontra Revolusi!”, “Dulu waktu peristiwa Madiun besar kepala, kini rasakan pembalasan!”.

Berdasarkan sejarah PKI di Indonesia, dapatlah disimpulkan di sini bahawa orang melayu Islam pun boleh menjadi gelap mata apabila sudah dibutakan hatinya oleh pergerakan komunis di masa itu. Di Indonesia pergerakan komunis bukannya didukung oleh orang cina, sebaliknya kesemua pemimpin PKI yang menjadi dalang dalam kekejaman adalah orang melayu. Oleh itu tidak hairanlah Mat Indera yang dikatakan hafiz Quran itu pun tergamak membiarkan rakan-rakan komunisnya membunuh wanita melayu dan anaknya yang berumur empat tahun semasa serangan di Bukit Kepong.

Walaupun sejarah Indonesia masih mengakui peranan awal PKI yang didukung oleh bangsa melayu dalam penentangan terhadap Belanda, namun bangsa Indonesia sama sekali tidak akan sanggup mengiktiraf melayu-melayu komunis ini sebagai pahlawan. Begitu bencinya mereka pada komunis sehinggakan pada tahun 2001, ribuan penduduk Kaloran, Temanggung, Jawa Tengah bertindak menghalang usaha menguburkan tulang belulang anggota PKI yang dibantai pada 1965. Mereka enggan membenarkan tulang belulang anggota PKI itu dikuburkan di daerah mereka kerana dendam mereka kepada komunis.

Pembantaian 1965 berlaku selepas PKI membunuh 6 jenderal Indonesia dalam cubaan untuk melakukan rampasan kuasa. Pihak tentera yang diketuai oleh Jeneral Suharto segera membalas dengan menangkap dan membunuh anggota-anggota PKI. Akibat oleh dendam kepada PKI terutamanya pembunuhan ahli-ahli agama oleh PKI pada di desa Kanigoro, Kediri, Jawa Timur, rakyat biasa turut turun tangan membantai kesemua anggota PKI.

Kelompok-kelompok pemuda dari organisasi-organisasi muslim barisan Ansor NU dan Tameng Marhaenis PNI membalas dendam di Jawa Tengah dan Jawa Timur sehinggakan Sungai Brantas di dekat Surabaya menjadi penuh mayat-mayat anggota PKI sampai di tempat-tempat tertentu sungai itu "terbendung mayat". Di pulau Bali, yang sebelum itu dianggap sebagai kubu PKI, paling sedikit 35,000 PKI menjadi korban di permulaan 1966.

Di Kediri yang mana sebelum itu dibantai oleh PKI dalam peristiwa 13 Januari, warga masyarakat Kediri melakukan serangan balik dengan memburu para pengikut PKI. Desa Kanigoro dijadikan ajang pembantaian orang-orang PKI, dan mayat mereka dimasukkan ke dalam sebuah tanah galian besar yang saat ini dikenal oleh warga masyarakat sekitar dengan sebutan Makam Parik.

Jika kita lihat apa yang berlaku di Indonesia, ternyata bahawa kebinasaan yang berlaku akibat kewujudan pergerakan komunis adalah adalah sangat dekat sekali dengan sejarah negara kita. Darurat Tanah Melayu berlaku bermula pada 1948 iaitu tahun yang sama komunis di Indonesia membunuh orang awam dan ahli agama dalam tragedi Madium. Dua tahun selepas pembunuhan di Madium, komunis di Malaya pula menyerang dan membunuh anggota polis dan keluarga mereka di Bukit Kepong. Namun kita di Malaysia masih bernasib baik kerana berkat jasa anggota keselamatan kita, darurat akhirnya tamat pada 1960. Indonesia tidak mempunyai nasib sebaik kita. Pembunuhan massal oleh Komunis masih lagi berterusan sehingga 1965 disusuli oleh rusuhan dan pembunuhan balas dendam ke atas Komunis pada 1965 dan 1966.

Jadi kenapa masih ada di Malaysia yang tidak bersyukur dengan nasib kita yang sebegitu baik? Tidak kah kita menyedari bahawa sekiranya Allah mengizinkan, maka boleh saja DIA menterbalikkan nasib antara Malaysia dan Indonesia pada waktu itu? Dan tidakkah PAS terfikir bahawa jika saja apa yang berlaku kepada ahli agama di Madium, Indonesia pada 1948 itu berlaku di Tanah Melayu, maka yang menjadi mangsa pembantaian komunis sudah tentulah kesemua ahli-ahli parti PAS sendiri?

Di Indonesia, anggota PKI yang sudah tinggal tulang pun masih tidak dibenarkan dikubur oleh penduduk. Di Malaysia pula anggota PKM yang membunuh orang melayu lelaki dan wanita pula hendak dijulang sebagai perwira negara.

Secara kebetulan pula beberapa malam yang lepas saya menerima email daripada sahabat lama dari Pakistan (juga anggota Watchers). Beliau juga berminat dengan isu ini selepas mendapat khabar angin daripada saudara beliau yang kini berkerja di Malaysia. Apatah lagi beliau mempunyai banyak keluarga di sebelah ayah beliau yang menjadi mujahidin di Afghanistan menentang komunis Rusia, maka sudah tentu beliau musykil kenapa ada orang beragama Islam yang sanggup memuja Komunis.

Dan itulah sebabnya mengapa saya malu hendak menulis dalam bahasa Inggeris kali ini. Tidak sanggup rasanya hendak berkongsi artikel ini dengan rakan-rakan daripada kumpulan Watchers yang sering berkunjung melawat blog ini. Perangai kebanyakan melayu pembangkang yang kini cuba memartabatkan pejuang komunis adalah sangat sangat sangat memalukan.

Malu .. Malu .. Malu .. Malu .. Maluuuuuuuuuuunya...

Terus terang sahabat saya itu mengatakan bahawa sekiranya Mat Sabu atau penyokong-penyokongnya cuba memainkan isu ini di Afghanistan atau Chechnya, maka sudah kepala mereka sudah dipenggal. Malahan tidak keterlaluan jika akan wujud pula seruan jihad membenteras kesemua penyokong PAS/PKR/DAP.

Tiada guna PAS dan PKR cuba memusing peranan Mat Indera dalam Komunis kerana orang-orang Afghan dan Chechnya juga pernah menghadapi 'Mat Indera' mereka sendiri semasa perang Afghanistan dan perang Chechen. Inilah barua-barua yang membelot kononnya demi kepentingan Negara namun akhirnya mati dimaki bangsa sendiri.

Di Chechnya wujud manusia seperti Haji Akhmad Kadyrov, bekas Ketua Mufti Chechnya yang kemudian menyebelahi Russia dalam Perang Chechen Ke-2 sebelum diangkat oleh Rusia sebagai Presiden Chechnya. Terdapat hujah dari sesetenngah pihak yang mengatakan bahawa beliau berpaling tadah bagi menyelamatkan Chechnya daripada serangan Russia, namun hujah sebegini tidak diterima oleh bangsa Chechnya yang menganggap beliau pembelot. Beliau akhirnya dibunuh oleh pejuang Chechen melalui letupan bom pada 09 Mei 2004 (Anaknya Ramzan yang juga menyokong Rusia dan dijadikan Presiden pada 2007 juga dianggap pembelot).

Di Afghanistan pula terdapat Bekas Perdana Menteri Hazifullah Amin yang menjemput tentera Russia masuk ke Afghanistan demi mengukuhkan kedudukan Kerajaan. Amin kemudiannya dibunuh oleh Russia dan tempatnya diganti oleh seorang lagi pembelot bangsa Afghan iaitu Babrak Kamal. Tidak kira apa cerita yang direka oleh Russia bagi menggambarkan Amin dan Babrak sebagai nasionalis yang ingin meliberalkan Afghanistan, hakikatnya bangsa Afghan tetap memandang boneka-boneka Komunis ini sebagai pembelot.

Saya sekarang berdoa siang malam agar isu sokongan segelintir orang melayu kepada perjuangan komunis ini tidak disebarkan ke media antarabangsa. Sekiranya perkara ini bocor kepada negara-negara Islam seperti Afghanistan dan Chechnya, maka malu yang bakal terpalit kepada orang melayu Islam di negara ini tidak dapat dibayangkan lagi. Kita akan menjadi bahan ejekan umat Islam di seluruh dunia dari Indonesia ke Arab Saudi. Malahan tidak mustahil umat Islam di negara ini akan dijadikan iktibar tentang kebodohan umat Islam di akhir zaman yang terhegeh-hegeh menyanjung Musuh Islam.

8 comments:

  1. Dlm industri drama & filem msia pun ramai individu-individu yg sokong komunis. Mereka berasa hip dan cool menyokong komunis. Kononnya mereka tidak terikat dengan perjuangan bangsa yang sempit. Mereka Melayu Liberal yang memperjuangkan pluralisme.

    Agaknya melayu-melayu liberal dlm industri drama & filem ni sanggup tak duduk semeja dgn Mat Sabu ya? Ya lah wpun mereka sama-sama cintakan Chin Peng tapi keterampilan mereka berbeza. Mat Sabu gaya lelaki ulu, tak tau la blh cakap inggeris ke tak. Melayu-melayu liberal tu pulak cakap org putih berterabur, kopiah tak main la.

    At the end of it kita Melayu tetap akan bergasak sesama sendiri. Kita wpun sebangsa & seagama tidak sama pandangan di dalam pelbagai hal. Tak pa la, this is life. Semoga kita sentiasa berada di dalam golongan yg diberikan petunjuk & hidayah.

    Melayu ke Islam ke, kalau dah terpesong tetap musuh.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Puan kerana memberi komen. Ya saya perasan idea Lucifersm mula merebak dalam perfileman Malaysia. Tapi tak sangka pula dah ada sympathizer Komunis dalam perfileman kita.

    Sekarang dah ada filem yang cuba menggambarkan pontianak di Kg Batu sebagai makhluk baik hati, dah ada filem air mata untuk Gay yang simpan anu dalam botol, dan masa sambutan merdeka ada lah pulak filem di Astro yang cuba menarik simpati kepada Geisha zaman Jepun.

    Kalau Geisha melayu tu jadi pelacur sebab diculik macam apa yang berlaku pada "confort women" di Korea tu saya fahamlah juga. Ini Geisha rela hati sebab nak sara hidup.

    Sebenarnya para karyawan di Malaysia ni sebelum filemkan skrip kena tanya satu soalan asas dulu.. "rasa-rasanya watak utama dalam filem tu bakal masuk neraka ke tidak?", kalau watak utama tu sah landing kat neraka maka tak usahlah promote lagi cerita tu tak kira macam mana berderai pun air mata skrip tu dibuatnya.

    Inilah yang dinamakan Lucifersm sepertimana di Hollywood. Vampire pun boleh jadi baik. Pembunuh yang dah membunuh beratus-ratus orang pun boleh jadi hero. Filem Gangster dan Mafia pun boleh menyebabkan orang menangis simpati bila melihat gangster tu ditembak polis di akhir cerita.

    Nak kata apa, akhir zaman...

    Kalau Pembangkang menang pilihanraya nanti sure ada filem Bukit Kepong 2 plak. Kali ni diarah oleh pengarah cina dan berkisar dari kaca mata Mat Indera plak. Maka berderailah air mata penonton melayu kesedihan melihat watak Mat Indera digantung sampai mati di penjara Taiping.

    ReplyDelete
  3. Allah Maha Pengampun Maha Penyayang masih sayangkan umat Islam Melayu. Kebenaran terhadap isi hati dan perjuangan palsu atas nama Allah dipertunjukan kepada umum supaya umat Islam Melayu sedar dan dapat menilai sendiri kepalsuan ajaran-ajaran takabur dan sesat walaupun pahit dan malu. Lebih baik malu daripada terus sesat sampai akhirat.

    Minat dan perancangan puak-puak Luciferan terhadap Malaysia cukup jelas sekarang. Kekadang perancangan mereka melucukan dan memakan diri. Tiada perancangan yang lebih hebat dan tinggi dari Allah swt. Setiap peristiwa yang berlaku ada hikmahNya supaya kita bersedia, berwaspada dan tidak leka terhadap agenda-agenda jahat dan sesat.

    Mungkin ada dikalangan kita yang disayangi Allah. Insaflah dan bersatu. Allah bertindak memperlihatkan kepalsuaan puak-puak Dajjal, Iblis dan Syaitan di akhir-akhir zaman ini. Oleh itu teruslah berusahalah menjadi hambaNya yang taat dan umat yang dikasihiNya dan sentiasa dilindungiNya dari fitnah-fitnah Dajjal, Iblis dan Syaitan.

    ReplyDelete
  4. Post yang memang menarik. Saya melihat semua ini adalah "bayaran tunai" dari Allah kepada puak2 taksub pas. Walaupun mereka membuat bermacam2 solat hajat hinggakan ke doa pecah perut, tapi hati mereka tetap terpaling bila kebenaran yang mereka minta tak menyebelahi mereka.

    Nah, sekarang topeng mereka terbuka satu persatu. Inilah perjuangan mereka yang sebenar.

    Mungkin AfterDark boleh kongsikan sejarah penubuhan pas itu sendiri? Sebab ianya agak disenyapkan.

    ReplyDelete
  5. Sejarah penubuhan PAS ada dijelaskan dengan agak terperinci oleh Tun Mahathir di dalam bukunya "A Doctor in the House". Kalau nak nanti saya akan scan bahagian yang berkenaan dan paparkan di blog ini. Kalau maksud anda ialah maklumat-maklumat "sensitif" mengenai penubuhan PAS tu rasanya masih diklasifikasikan sebagai sulit didalam laci Special Branch. Itu rasanya belum boleh dikongsi lagi hehe..

    ReplyDelete
  6. Dari laci SB, parti PAS ditubuhkan utk "destabilization agenda and factor" oleh pihak british. The fact that PAS was set up by British and not by PAS member. Ahmad Fuad was the perfect candidate for the destabilization in the mood for independence. Modus operandi Lawrence dipakai jika outcome tidak menguntungkan British. Perkara sama terjadi disemua bekas commonwealth. The rest was history.

    By fact PAS is a British Party, setup, registered and constitution based on British ideology with Islamic brand. Sifat assabiyah kenegerian diberatkan supaya mudah dikawal bila agenda tak menjadi. Pecah belah dilaksana.

    Enough revealing ...

    Kita dapat lihat banyaknya auta british dalam pemikiran PAS.

    ReplyDelete
  7. Laa dah PAS pulak jadi ciptaan british. Lawak gila. Jadi UMNO ciptaan sape pulak?.

    ReplyDelete
  8. Sama sahaja kedua dua pihak.UMNO juga ciptaan British.kerana itu Hizbul Muslimin yg BUKAN ciptaan british@tak sehaluan dgn british diharamkan.kenapa yg lain bebas?jika PAS bukan ciptaan british pun,pasti ada sesuatu yg british reda dgn PAS berkenaan tujuan penubuhan atau apa pun,yg menyebabkan british 'selesa' dgn PAS tidak seperti Hizbul Muslimin yg lebih jelas penubuhan negara islam.

    ReplyDelete